KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut ditikam di hadapan sebuah bank di Seksyen 18 Shah Alam Selangor, hari ini akibat berebut kawasan meminta sedekah.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu kira-kira jam 12 tenga hari daripada orang awam.
Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 40 tahun merupakan seorang peminta sedekah di sekitar kawasan bank itu manakala suspek pula ingin meminta sedekah di kawasan tersebut.
“Semasa kejadian, telah berlaku pertengkaran mulut di antara kedua-dua mereka berkaitan isu perebutan tempat meminta sedekah.
“Suspek kemudiannya telah bertindak mengeluarkan sebilah pisau lalu menikam di bahagian dada si mati sebanyak beberapa kali sehingga menyebabkan si mati jatuh terbaring berlumuran darah dan tidak sedarkan diri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Iqbal, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Katanya, bertindak atas maklumat yang diterima, tangkapan ke atas suspek dilakukan pada jam 12.30 tengah hari di lokasi kejadian.
Tambah beliau, suspek yang berumur 28 tahun yang juga merupakan seorang peminta sedekah mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif sebarang penyalahgunaan dadah.
Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun jika disabitkan bersalah.
Mohd Iqbal berkata, permohonan reman ke atas saspek akan dibuat di Mahkamah Shah Alam pada jam 10 pagi esok.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Muhammad Abd Hafiz Sariee di talian 0148905051. – MalaysiaGazette