JOHOR BAHRU – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medini yang mengalami masalah penglihatan sejak berusia lapan tahun tidak menyangka memperoleh keputusan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan hari ini.
Iman Ar Rasyid Md Fariz, 18, mengakui terkejut dengan keputusan tersebut kerana tidak meletakkan sasaran jumlah A yang tinggi, memandangkan kurang keyakinan ketika menduduki SPM 2024.
“Saya sebenarnya agak ‘down’ sebab saya tak dapat berjuang menjawab kertas peperiksaan bersama kawan-kawan di dewan peperiksaan. Saya jawab periksa seorang diri dalam bilik ditemani dua pengawai peperiksaan.
“Sedikit gementar, tetapi Alhamdulillah, saya dapat buat yang terbaik dan mendapat keputusan yang cemerlang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Nusa Perintis di sini, hari ini.
Dia menyemak keputusan peperiksaan secara dalam talian dan menganggap doa ibu bapa, adik beradik, kawan dan guru membantu dia mendapat kejayaan yang cemerlang.
“Dari dulu saya impikan untuk bawa satu keluarga naik pentas ambil keputusan yang cemerlang. Tetapi, saya sedar kekurangan diri, jadi saya tak yakin. Alhamdulillah , sokongan semua pihak, saya dapat keputusan cemerlang ini.
“Saya dah buat yang terbaik untuk balas pengorbanan semua pihak. Saya bercita-cita menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik,” ujarnya.
Iman baharu menjalani pembedahan mata semalam bagi memasukkan tiub kedua bagi mengurangkan tekanan pada matanya dan memudahkan pengaliran bendalir di mata.
Dia adalah antara 168 calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) di Johor bagi SPM 2024.
Sementara itu, bapanya, Md Fariz Ahmad Sanusi, 51, berkata, dia dan isteri, Zubaidah Abd Rahman, 51, bersyukur dan menganggap anak ketiga daripada empat beradik itu sememangnya layak memperoleh keputusan cemerlang walaupun berdepan kepayahan.
“Kadang-kadang nampak kesukaran dia masa dia belajar, macam cermin mata pun dia terpaksa buka sebab kena tengok dekat-dekat dan dia banyak gunakan mata kanan.
“Bila lihat kepayahan anak itu, sebagai bapa, sudahlah jauh pula susah nak pantai dia, saya rasa dia layak mendapat keputusan cemerlang ini. Dari kecil dia diuji, tetapi sekali pun tak pernah dengar dia mengeluh dengan ujian Allah. Dia anak yang baik, sebab itu, kami bersyukur,” katanya. – MalaysiaGazette