JOHOR BAHRU – Polis menahan tiga lelaki selepas menumpaskan kegiatan mencuri elektrik bagi tujuan melombong mata wang digital bitcoin yang mengakibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerugian RM1.29 juta dalam serbuan selama dua hari.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan menerusi Op Letrik yang dijalankan pihaknya bersama-sama Tenaga Nasional Berhad (TNB) Zon Selatan dilakukan di beberapa daerah semalam dan kelmarin.
“Dalam operasi ini tiga lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 48 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan tersebut ditahan.
“Hasil serbuan ke atas sembilan premis di sekitar Johor Bahru, Seri Alam, Kulai, Segamat dan Tangkak telah membawa kepada rampasan 87 mesin melombong Bitcoin yang dianggarkan bernilai RM217,500.
“Turut dirampas pelbagai jenis telefon bimbit, komputer riba, modem, router dan anak kunci dipercayai digunakan dalam operasi haram tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kumar, siasatan mendapati sindiket itu menyasarkan kawasan perumahan dan rumah kedai sebagai lokasi operasi bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
“Perbuatan mencuri arus elektrik untuk menjalankan aktiviti tersebut telah menyebabkan TNB mengalami kerugian sebanyak RM1.29 juta,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 yang membawa hukuman penjara, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, katanya.
Tegas beliau, polis Johor akan terus menjalankan operasi seumpama itu secara agresif bagi membanteras kegiatan curi elektrik bagi tujuan perlombongan bitcoin di negeri ini.- MalaysiaGazette