Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd (TNB) menggandakan perbelanjaan modalnya (capex) kepada RM42.9 bilion, merangkumi  capex asas sebanyak RM26.6 bilion dan capex luar jangka sebanyak RM16.3 bilion bagi menyokong pembangunan infrastruktur untuk peralihan tenaga negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata daripada jumlah capex luar jangka tersebut, 64 peratus akan digunakan untuk menaik taraf infrastruktur bagi menyokong tenaga boleh baharu (TBB), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dan projek penyambungan antara grid.

Sementara itu, 30 peratus pula untuk memenuhi potensi peningkatan permintaan, dan enam peratus bagi memastikan keselamatan bekalan tenaga.

“Keutamaan utama kami adalah untuk mempercepatkan proses penyahkarbonan. Kami merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam tenaga solar (LSS5+, LSS6), penyimpanan tenaga bateri (BESS), Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS), dan inisiatif tenaga boleh baharu berasaskan komuniti (CREAM).

“Kami juga akan meneruskan pelaburan dalam hidrogen hijau, pemerangkapan karbon, mobiliti elektrik, dan penyambungan grid pintar, yang semuanya merupakan komponen penting dalam visi Grid Kuasa ASEAN,” katanya dalam Laporan Tahunan TNB 2024 yang difailkan di Bursa Malaysia hari ini.

Usara Peralihan Tenaga 

Menurut Megat Jalaluddin berkata sehingga kini TNB telah memiliki kapasiti TBB sebanyak 3.3 gigawatt (GW) di Semenanjung Malaysia dan 1.1 GW di luar negara, terutamanya di United Kingdom (UK) dan Ireland.

“Pada tahun 2024, kami telah memperoleh lebih 700 megawatt-puncak (MWp) projek solar melalui inisiatif LSS5 dan LSSS.

“Selain itu, kami telah memuktamadkan perjanjian kewangan bagi loji solar berkapasiti 45MWp di Kulim di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP),” katanya.

Di peringkat antarabangsa, TNB mengendalikan kapasiti gabungan 927 megawatt (MW) merangkumi aset solar dan angin di UK, Ireland, dan Australia, serta sedang membina dua ladang solar baharu di UK dengan jumlah keseluruhan 102MWp.

Di bawah NETR, TNB mengusahakan tiga projek perintis utama iaitu solar terapung, taman solar berpusat, dan projek hidrogen.

“Bagi solar terapung, terdapat pembangunan loji solar fotovolta terapung berkapasiti 2.5 GW di atas empangan hidro kami.

“Ini termasuk pemasangan sistem berkapasiti 154kWp yang berjaya di Empangan Kenyir. Untuk taman solar berpusat, kami sedang membangunkan lima taman solar berkapasiti 150MWp di seluruh Malaysia dengan kerjasama rakan kongsi tempatan.

“Setakat ini, kami telah memperoleh kontrak pembekalan tenaga hijau sebanyak 150MWp kepada Bridge Data Centres melalui CRESS,” katanya.

Megat Jalaluddin berkata TNB sedang bekerjasama dengan Petronas dalam projek hidrogen hijau menggunakan tenaga solar daripada projek Kenyir, dan sistem perintis itu kini telah dipasang dengan panel solar berkapasiti 500kWp serta sistem bateri berkapasiti 1MWh.

TNB juga telah memperoleh projek sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 400MWh di Sabah, yang merupakan yang terbesar seumpamanya di ASEAN.

“Pada masa yang sama, kami juga telah menerima projek perintis 400MWh untuk grid nasional. Kami turut meneroka bidang pemerangkapan dan penyimpanan karbon untuk membantu mengurangkan pelepasan daripada loji janakuasa terma,” katanya.

Tinjauan Masa Depan

Pada masa hadapan, beliau berkata syarikat optimis terhadap tahun 2025, sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi antara 4.5 hingga 5.5 peratus, dengan permintaan elektrik dijangka meningkat sehingga 4.5 peratus.

“Dengan pelancaran Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) dan pulangan pelaburan yang memberangsangkan sebanyak 7.3 peratus, kami yakin untuk meningkatkan skala pelaburan kami,” kata Megat Jalaluddin.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here