Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyampaikan ucapan ketika hadir pada Majlis Peluncuran Warisan Kuala Lumpur di Menara 1 DBKL, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 25 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Beberapa lagi pemilihan peringkat cabang PKR telah menerima bantahan dan keputusan mengenainya akan diumum minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang mengesahkan perkara itu berkata bantahan tersebut masih diteliti pihaknya dan mengambil masa untuk dimuktamadkan.

“Akan ambil masa sebab kita kena teliti semua bantahan dan aduan sebelum buat keputusan muktamad. Ada beberapa (bantahan) keputusan cabang, kita akan umumkan dalam minggu hadapan,” katanya kepada media hari ini.

Dr Zaliha berkata demikian selepas menemani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia Madani di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Semalam, Dr Zaliha berkata, sebarang bantahan dan rayuan dikemukakan mana-mana pemimpin PKR berhubung pemilihan pada peringkat cabang akan dinilai oleh Jawatankuasa Aduan serta Jawatankuasa Rayuan sebelum tindakan susulan dilaksanakan.

Bantahan atau aduan terbabit akan dinilai oleh Jawatankuasa Aduan dipengerusikan Datuk Ahmad Kassim manakala rayuan pula akan disemak oleh Jawatankuasa Rayuan yang dipengerusikan Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Sebelum ini, beberapa nama seperti Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang tewas dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Johor Bahru mengemukakan bantahan secara rasmi kepada JPP.

Selain Akmal Nasrullah, beberapa pemimpin lain yang kalah turut mengambil tindakan sama, termasuk Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung (Petaling Jaya), dan Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat (Selayang).

Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam juga mengambil keputusan untuk mengemukakan rayuan rasmi kepada JPP berikutan kekalahan tipisnya di Cabang Sungai Siput.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad yang tewas dengan majoriti 68 undi kepada selebriti dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki memberi bayangan mahu menggunakan saluran rasmi bagi menyuarakan isu berbangkit.

Dalam pada itu, tiga bahagian PKR iaitu Selayang, Jempol dan Silam perlu mengadakan pemilihan semula. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here