Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media Majlis Santuni Kasih Syawal di Kampung Orang Asli Sungai Keroh, Ayer Kuning, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 APRIL 2025.

TAPAH – Barisan Nasional (BN) memberi bayangan tidak akan menjalin kerjasama politik dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) dalam membentuk pentadbiran kerajaan negeri di Perak.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya cadangan kerjasama itu hanya disifatkan sebagai mimpi di siang hari.

“Baguslah kalau dibuat lebih lama dahulu (menjalinkan kerjasama BN dan PN). Tetapi kalau di Ayer Kuning baru ada cadangan seperti itu, saya ingat sekarang pun sudah tengah hari. Kalau kita mimpi, ertinya mimpi di siang hari,” katanya secara sinis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media Majlis Santuni Kasih Syawal di Kampung Orang Asli Sungai Kroh di sini, pada Jumaat.

Hadir sama ke majlis, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir serta Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri diminta mengulas berkenaan laporan sebuah portal berita yang menyebut isu ladang babi di negeri ini khususnya di Ayer Kuning dapat diselesaikan sekiranya UMNO dan PN bergabung membentuk kerajaan negeri.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, ini kerana dua parti itu akan mempunyai majoriti besar sekiranya bergabung dan sekali gus memudahkan agenda memperjuangkan isu rakyat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Hamzah itu menunjukkan mereka mulai sedang kehilangan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Menurut beliau, tiada keperluan untuk membentuk kerjasama kerana keyakinan rakyat terus utuh dan pemimpin tempatan juga telah memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Pada masa sama, Ahmad Zahid yakin bahawa segala permasalahan rakyat akan terus diberi perhatian dan diselesaikan secara berperingkat melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Sebagaimana yang kita ketahui gabungan yang disebut itu tidak perlu, kerana kita yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Saarani Mohamad yang terbaik setakat ini bagi menyelesaikan masalah berkait pembangunan dan keperluan rakyat.

“Saya fikir mereka telah sedar bahawa PN kehilangan sokongan di Ayer Kuning di mana Datuk Seri M. Saravanan sebagai Ahli Parlimen Tapah telah memberikan khidmat terbaiknya termasuk di Ayer Kuning” jelase beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here