Penyokong membawa poster calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir di Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional tidak menghadapi masalah besar untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung esok.

Badan penyelidikan Ilham Centre berkata, kesimpulan itu dilakukan berdasarkan pemerhatian selama dua minggu kempen di PRK DUN Ayer Kuning.

“Persoalan utama ialah sejauh mana kerjasama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan mampu meningkatkan sokongan pengundi untuk mencapai sasaran majoriti tinggi 18,000 ribu undi yang diumumkan Menteri Besar Perak.

“Sasaran ini memberi tekanan langsung kepada jentera kempen Barisan Nasional (BN) dan PH untuk membuktikan keberkesanan kerjasama melalui keputusan hari pengundian, walaupun majoriti responden berpendapat sasaran tersebut sukar dicapai,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, PRK Ayer Kuning merupakan penanda aras kritikal bagi menilai keberkesanan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan serta pengaruh sebenar Perikatan Nasional dalam kalangan pengundi muda Melayu.

Ia juga menguji sejauh mana faktor peribadi calon mempengaruhi keputusan pengundian dan hala tuju politik setempat menjelang pilihan raya akan datang.

“Di pihak PN, fokus utama adalah mengekalkan momentum sokongan pengundi Melayu, khususnya anak muda yang menjadi kekuatan mereka pada PRU-15 lalu.

“Jika PN berjaya mengekalkan jumlah undi terdahulu, ia sudah dianggap sebagai pencapaian besar. PRU lalu menyaksikan PN berjaya menguasai empat Pusat Daerah Mengundi majoriti Melayu di Ayer Kuning, sekali gus mencabar dominasi tradisi UMNO.

“Justeru, PRK kali ini menjadi medan penting menentukan sama ada PN mampu mempertahankan prestasi tersebut atau kembali kehilangan cengkaman kepada BN,” katanya.

Sementara itu menurut Ilham Centre, cabaran terbesar dalam PRK Ayer Kuning adalah sikap pengundi muda yang tidak lagi teruja atau aktif menyertai kempen secara fizikal.

Berdasarkan temubual pengundi muda khususnya mereka yang berada di luar kawasan seperti di Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh dan Teluk Intan secara jelas menyatakan mereka tidak berminat untuk pulang mengundi.

“Dalam konteks ini, anak muda Melayu kekal sebagai kumpulan pengundi yang kritikal terhadap BN, meneruskan sentimen negatif yang telah memberi lonjakan besar kepada PN semasa PRU-15 lalu.

“Ketiadaan minat generasi muda ini merupakan cabaran utama jentera Pemuda UMNO yang dilihat terkial-kial dalam usaha untuk meraih semula kepercayaan kelompok ini sepanjang tempoh kempen berlangsung.

“Fenomena ini menyebabkan pola pengundian majoriti senyap semakin sukar dibaca, menambah ketidakpastian terhadap keputusan akhir PRK ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here