Para peserta yang menyertai Future Entrepreneurs in Food Security Convention.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memacu kecemerlangan dalam pembangunan keusahawanan pelajar menerusi kejayaan meraih Dana Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2024 berjumlah RM166,015.00.

Dana ini diperoleh melalui Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (UMT-GEM), di bawah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), selaku penyelaras bersama Future Entrepreneurs in Food Security Convention (Feast).

Feast merupakan sebuah inisiatif berimpak tinggi berbentuk pertandingan keusahawanan yang menghimpunkan bakat pelajar dari universiti awam (UA), Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh negara.

Mengangkat tema keterjaminan makanan, program ini mendukung agenda kelestarian dalam keusahawanan pelajar serta membuka ruang untuk penghasilan produk inovatif berteraskan prinsip ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus).

Penganjuran Feast juga sejajar dengan kepakaran UMT dalam bidang keterjaminan makanan yang telah mendapat pengiktirafan melalui Anugerah Employer’s Choice Award 2024 oleh Talentbank dalam kluster Teknologi Sains Makanan.

Program ini dilaksanakan dalam dua fasa utama iaitu Bootcamp New Entrepreneur Innovation Competition (NEIC) dan pembangunan projek.

Manakala fasa 2 melibatkan sesi pitching dan majlis penutup Konvensyen Feast yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 November 2025 di UMT.

Bootcamp NEIC yang menjadi pembuka tirai Feast telah diadakan pada 17 hingga 19 April 2025 bertempat di UMTCC dan diteruskan dengan slot eksklusif Penghayatan Warisan di Pulau Bidong pada 20 April.

Seramai 75 peserta dan mentor menyertai bootcamp itu yang mana terdiri daripada 20 pasukan mewakili universiti awam dan lima pasukan dari Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Sepanjang empat hari program, peserta didedahkan kepada pelbagai modul penting antaranya keusahawanan digital (digitalpreneur), pemikiran reka bentuk, celik kewangan serta strategi penghasilan produk berinovasi yang melibatkan komuniti.

Peserta turut dibimbing dalam membina rancangan perniagaan yang mengintegrasikan nilai-nilai ESG melalui pengalaman langsung di Pulau Bidong, lokasi ikonik warisan dan penyelidikan UMT.

Inisiatif seperti ini membuktikan komitmen UMT dalam melahirkan usahawan pelajar yang berdaya saing dan berpandangan jauh, sejajar dengan aspirasi negara dalam bidang keterjaminan makanan dan kelestarian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here