KUALA LUMPUR – Sembahyang Isyak malam Jumaat menjadi solat terakhir bagi seorang guru yang dilaporkan meninggal dunia sebaik keluar dari masjid di Parit Buntar, Perak malam tadi.
Menceritakan detik itu, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Muhammad Radzi Arab, allahyarham rebah secara tiba-tiba rebah sebaik melangkah keluar dari pintu utama Masjid Daerah Kerian, Parit Buntar.
Menurutnya, jemaah lelaki itu yang merupakan seorang guru itu baru sahaja menunaikan solat Isyak berjemaah dan mengikuti tazkirah berkaitan wakaf.
Tambahnya jemaah terbabit, Mohd. Zubir Ehlam masih dalam keadaan berwuduk ketika keluar dari Masjid Daerah Kerian Parit Buntar.
“Masya-Allah! Permergian hamba Allah SWT selepas solat Ishak berjemaah selepas takzirah wakaf ketika beliau keluar dari pintu utama Masjid Daerah Kerian Parit Buntar. Malam Jumaat serta dalam keadaan berwuduk,” katanya dalam perkongsian di media sosial.
Berdasarkan maklumat yang dikongsi, allahyarham merupakan seorang guru di Sekolah Sukan Mutiara Impian dan menetap di Taman Harmoni, Parit Buntar.
Facebook Parit Buntar berkata, jenazah akan disolatkan di Masjid Hijau Kampung Kedah selepas solat Jumaat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Parit Haji Wahab.-MalaysiaGazette