KUALA LUMPUR – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi 7,650 calon dari 55 buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) merupakan pencapaian luar biasa apabila menyaksikan peningkatan Gred Purata (GP) daripada 1.892 kepada 2.392 berbanding tahun lalu.
Menurut Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, kejayaan tersebut mencerminkan keberkesanan pelaksanaan strategi Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) yang bertungkus lumus mencipta lonjakan luar biasa kali ini.
“Antara strategi dalam memastikan anak-anak pelajar MRSM mencapai keputusan cemerlang SPM adalah bermula dengan penghasilan modul subjek berkualiti di peringkat BPM yang melibatkan guru pakar terpilih untuk diaplikasikan semasa proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
“Dari segi pemantapan kreativiti dan teknik penyelesaian masalah turut diterapkan dalam kalangan anak-anak pelajar menerusi program STEMFinity.
“Ia merupakan sebuah pengayaan kurikulum peringkat kebangsaan dengan mengambil pendekatan problem based learning yang membina keupayaan pelajar dalam aspek mendepani isu dunia secara kreatif, kolaboratif dan
berimpak tinggi.” katanya menerusi kenyataan.
Dalam masa yang sama, MARA turut mengadakan Anugerah Guru Cakna Budiman (AGCB) untuk memberi pengiktirafan kepada guru bagi setiap bulan mengikut kategori.
Lima kategori tersebut adalah inventif/penciptaan, inovasi, penulisan, khidmat masyarakat dan pengiktirafan organisasi luar.
“Kita juga memberi fokus kepada Pelan Tindakan mengikut kumpulan pencapaian pelajar. Bagi memastikan strategi ini dilaksanakan secara menyeluruh, kita turut melaksanakan Audit Akademik dengan menggunakan data pencapaian maktab berdasarkan keputusan peperiksaan semester.
“Selain itu, terdapat 10 Fokus MRSM yang digariskan bagi menterjemahkan kejayaan para pelajar. Sebagai contoh, kita memfokuskan kepada penetapan sasaran, Dialog Prestasi Subjek, lawatan penanda aras, mentor subjek, modul subjek, kemahiran penandaan, pencerapan dan team teaching, fasiliti, kajian tindakan serta kebajikan guru,” tambahnya.
Sementara itu, Zulfikri turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh calon SPM MRSM 2024, guru serta ibu bapa turut menyumbang kejayaan anak-anak. – MalaysiaGazette