KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur perlu diangkat sebagai sebuah kota warisan yang tidak hanya menjadi pusat pembangunan tetapi juga lambang ketamadunan dan jati diri negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menjelaskan, ibu kota ini sentiasa berada dalam perbincangan sebagai simbol kemajuan negara.
Malah menurut beliau, sebuah kota yang berjaya harus hidup dan segar dengan fizikal yang menarik serta menawan, sejajar dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.
“Memang kita tidak akan maju kalau kita tidak menggapai langit. Teknologi baharu seperti digital, kecerdasan buatan (AI) serta transisi tenaga adalah antara keutamaan yang perlu disegerakan.
“Tetapi menggapai langit itu harus mengakar ke bumi. Mengakar ke bumi itu ertinya faham sejarah faham budaya faham nilai faham akhlak,” katanya selepas meluncurkan Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia Madani di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Hadir sama adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Anwar dalam pada itu, turut menekankan bahawa pembangunan fizikal semata-mata tidak mencukupi tanpa asas yang kukuh pada nilai tradisi dan budaya.
Ujarnya, kemajuan teknologi perlu diimbangi dengan penghayatan kepada akar budaya dan sejarah.
Inisiatif Warisan KL jelas Anwar mencerminkan komitmen kerajaan dalam membentuk Kuala Lumpur sebagai sebuah kota yang menghormati akar sejarahnya sambil meraikan kemodenan.
“Hari ini, kita mengangkat martabat ibu kota kita. Sebagai sebuah kota warisan dan sering disebut sebagai kota pembangunan, saya sentiasa menekankan keperluan pemikiran pada tahap yang lebih tinggi,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette