JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu terhadap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Tangkak tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Safri Ibrahim, 46, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai ejen sebuah syarikat dengan niat untuk mengelirukan prinsipal kamu dengan mengemukakan penyata bank bagi Disember 2021 sehingga Februari 2022 atas nama syarikat terbabit sebagai dorongan bagi mendapatkan kerja-kerja membaik pulih jalan ladang di Jalan Parit Timin, Kampung Paya Kepong, Tangkak yang mempunyai butiran matan palsu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di JPS Daerah Tangkak antara 7 Mac hingga 13 Mei 2022.
Pendakwaan itu dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) Akta yang sama.
Bagi kesalahan itu, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika disabit kesalahan.
Di kamar yang sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan dengan curangnya menggunakan satu dokumen tulen iaitu penyata bank atas nama syarikat yang sama yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut adalah palsu.
Bagi pertuduhan pilihan, lelaki itu didakwa mengikut seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Fatin Nur Athirah Zainudin manakala tertuduh diwakili oleh peguam B Puvarasan.
Pihak pendakwa mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Puvarasan dalam rayuannya memohon satu jaminan yang minima memandangkan anak guamnya mempunyai tanggungan tiga orang anak berusia empat, 10 dan 13 tahun yang masih bersekolah selain menjaga ibunya yang sedang uzur.
Hakim Ahmad Kamal Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri ke Ibu Pejabat SPRM Johor sekali setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 22 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette