KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyifatkan kesilapan penggunaan grafik bendera Malaysia dalam laporan analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 sebagai satu perkara yang memalukan dan tidak boleh dipandang ringan.
Menurut beliau, sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab mendidik rakyat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak sepatutnya cuai dalam perkara melibatkan simbol kebangsaan, apatah lagi dalam penerbitan rasmi.
“Timbul persoalan bagaimanakah sebuah dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan boleh melakukan kesilapan dan kesalahan terhadap bendera negara?
“Jawapannya mudah, kerana kelalaian, kecuaian dan sikap tidak cermat dan tidak berdisiplin dalam menjalankan amanah,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.
Katanya, pegawai di pelbagai peringkat sepatutnya telah menyemak dan meluluskan dokumen tersebut sebelum sampai ke meja menteri, justeru sukar untuk diterima apabila kesilapan besar seperti itu tidak dikesan.
Tambah beliau, sewaktu menerajui kementerian berkenaan, semua laporan dan penerbitan rasmi akan melalui proses semakan ketat termasuk melibatkan Setiausaha Akhbar dan pegawai khas bagi memastikan tiada kesilapan atau kecuaian yang boleh menjejaskan imej kementerian serta negara.
“Demi negara dan demi menjaga imej tata kelola Madani yang dibawa oleh perdana menteri, ketua pengarah pendidikan, timbalan yang berkaitan dan juga pengarah Lembaga Peperiksaan perlulah bertanggungjawab dan mengundurkan diri secara ‘gentleman’.
“Melepaskan jawatan bukanlah sesuatu yang mengaibkan jika ia didasari prinsip dan maruah bangsa dan negara,” katanya
Media sebelum ini melaporkan KPM telah memohon maaf atas kesilapan paparan bendera Jalur Gemilang dipaparkan dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM.
Katanya, tindakan tegas dan serta-merta telah diambil ke atas semua yang terlibat selain siasatan terperinci juga sedang dijalankan. – MalaysiaGazette