KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar tidak setuju sebarang siasatan dilakukan terhadap pempengaruh media sosial Aliff Ahmad.
Naib Presiden PKR itu berkata, Aliff tidak seharusnya disiasat hanya berikutan cabaran untuk melakukan carian latar belakang terperinci (scrut) berkaitan pendapatan yang diperolehnya.
“Saya tidak mengenali beliau ataupun pernah bertemu dengan beliau. Saya juga tidak pasti cara beliau mencari rezeki, tetapi sudah tentunya kita harus menyokong segala usaha yang mengikuti garis panduan undang-undang.
“Namun yang pasti, beliau tidak sepatutnya disiasat hanya kerana membuat cabaran atau kenyataan seperti yang dinyatakan,” katanya.
Sementara itu Nurul Izzah menolak tuduhan mendakwa pihaknya telah membuat laporan sehingga kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sehingga menyebabkan Aliff disiasat.
Beliau mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak gopoh untuk membuat tuduhan hingga menjelaskan imej seseorang.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya mahupun mana-mana pegawai saya tidak pernah membuat sebarang laporan kepada MCMC terhadap saudara Aliff Ahmad, seperti yang didakwa.
“Justeru, adalah penting untuk semua pihak berhati-hati dalam membuat tuduhan yang boleh mencemarkan reputasi dan menjejaskan kredibiliti mana-mana pihak tanpa asas yang kukuh.
“Selainnya, kita berpegang kepada prinsip berani kerana benar. Moga Allah SWT memberkati segala usaha kita,” katanya.
Aliff dalam perkongsian malam tadi mendakwa telah dipanggil MCMC selepas menawarkan untuk membuat scrut ke atas Nurul Izzah.
Aliff Ahmad dalam perkongsian di Facebook mendakwa telah menerima notis memintanya untuk hadir ke ibu pejabat MCMC di Cyberjaya pada 8 malam tadi.
Beliau bagaimanapun memaklumkan tidak dapat berbuat demikian kepada pengawai MCMC yang menghubunginya dan berjanji untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu pagi ini.
Beliau sebelum itu menawarkan untuk melakukan ‘scrut’ mengenai kerja dan sumber pendapatan Nurul Izzah sekiranya mendapat 20,000 perkongsian di Facebook.
“Ramai pula minta scrut Nurul Izzah. Dia kerja apa? Mana dia dapat duit untuk hidup dan berpolitik? Ada berniaga apa? 20,000 perkongsian hantaran ini. Aku buatkan. Itu harganya. Kau orang buat keputusan,” katanya.-MalaysiaGazette