KUALA LUMPUR – Empat lelaki ditahan selepas didapati positif dadah dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, Johor selama dua hari bermula 23 April lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, sepanjang operasi itu, seramai 104 individu bersama 95 kenderaan telah diperiksa.
“Operasi yang melibatkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik itu dilaksanakan di sekitar Bandar Kluang dan Simpang Renggam.
“Hasil pemeriksaan, sebanyak 45 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin, ujian saringan awal air kencing turut dijalankan terhadap 25 individu dan mendapati empat lelaki berkenaan yang berusia antara 22 hingga 44 tahun disahkan positif dadah jenis methamphetamine.
Kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kluang – MalaysiaGazette