KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kemajuan masyarakat sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sandakan direman tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM40,000 daripada beberapa individu dan kontraktor.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu dikeluarkan oleh Hakim Zaini Fishir di Mahkamah Sesyen Sandakan bermula hari ini sehingga 1 Mei ini untuk membantu siasatan.
Menurut sumber, suspek dipercayai menerima wang tersebut sebagai dorongan untuk menganugerahkan projek pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada beberapa individu dan syarikat sejak tahun 2022 hingga 2025.
“Suspek telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan pada jam 2.00 petang, semalam” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Y. Subbiah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette