KUALA LUMPUR – Seorang pempengaruh media sosial mendakwa telah dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) selepas menawarkan untuk membuat carian latar belakang terperinci (scrut) ke atas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Aliff Ahmad dalam perkongsian di Facebook mendakwa telah menerima notis memintanya untuk hadir ke ibu pejabat MCMC di Cyberjaya pada 8 malam tadi.
Beliau bagaimanapun memaklumkan tidak dapat berbuat demikian kepada pengawai MCMC yang menghubunginya.
“Aku ada hal. Aku tak boleh datang. Aku suruh pagi esok dia orang pergi jumpa majistret tunjuk hantaran aku, minta waran tangkap. Buatlah dokumen sikit malam ini. Esok ngadaplah majistret.
“Aku rasa kelakar apabila MCMC beriya nak siasat hantaran yang aku pasti tiada apa-apa kesalahan undang-undang mahupun jenayah di dalamnya,” katanya.
Menurut Aliff, dia sebelum ini pernah membuat laporan kepada MCMC berhubung laman web yang didakwa menjual data Jabatan Pendaftaran Negara yang bocor.
Namun, katanya, tiada tindakan yang dilakukan terhadap laman web itu dan sehingga hari ini, ia masih beroperasi.
Aliff berkata, dia sudah memaklumkan pegawai MCMC akan hadir di pejabat suruhanjaya itu pada 10 pagi ini.
Beliau sebelum itu menawarkan untuk melakukan ‘scrut’ mengenai kerja dan sumber pendapatan Nurul Izzah sekiranya mendapat 20,000 perkongsian di Facebook.
“Ramai pula minta scrut Nurul Izzah. Dia kerja apa? Mana dia dapat duit untuk hidup dan berpolitik? Ada berniaga apa? 20,000 perkongsian hantaran ini. Aku buatkan. Itu harganya. Kau orang buat keputusan,” katanya kira-kira 21 jam yang lalu.
Hantaran itu bagaimanapun sehingga pukul 8 pagi hari ini hanya mendapat 4,100 perkongsian.- MalaysiaGazette