Pengarah Pilihan Raya Amanah, Mohd Sany Hamzan

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyeru pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning agar terus mengekalkan momentum kemenangan Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya kecil (PRK), yang berlangsung esok.

Pengarah Pilihan Rayanya, Mohd Sany Hamzan berkata, dapatan kajian Ilham Centre membuktikan gelombang sokongan rakyat semakin kukuh terhadap calon Kerajaan Perpaduan.

“Ini adalah hasil kesungguhan kita semua membina sebuah kerajaan stabil, progresif dan inklusif demi masa depan rakyat.

“Jangan patahkan momentum ini dengan memecahkan undi atau memilih calon yang tidak bersama dalam kerajaan.

“Undi seperti itu tidak akan membawa sebarang hasil kepada rakyat Ayer Kuning, malah akan menyulitkan usaha pembangunan di peringkat negeri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

PRK Ayer Kuning pada Sabtu ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PN, Abd Muhaimin Malek; calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Februari lepas.

Menurut Sany, Amanah telah menggerakkan jentera dari seluruh negara ke Ayer Kuning dan akan terus berkempen hingga ke detik akhir.

“Kami turun dari rumah ke rumah, menyampaikan mesej, mengetuk pintu hati rakyat dan menyeru semua pengundi agar keluar mengundi dengan bijak dan bertanggungjawab.

“Calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan adalah suara rakyat yang boleh dibawa terus ke meja pentadbiran negeri. Ini bukan soal parti, tetapi soal siapa yang mampu menyampaikan dan melaksanakan amanah rakyat.

“Saya yakin, rakyat Ayer Kuning akan membuat pilihan tepat, bersama majoriti rakyat Malaysia yang mahukan kestabilan, kemajuan dan perpaduan yang utuh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here