Laporan Ilham Centre memberi gambaran jelas bahawa pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning semakin cenderung menyokong calon Kerajaan Perpaduan.

KUALA LUMPUR – Laporan terkini diterbitkan oleh Ilham Centre hari ini memberi gambaran jelas bahawa pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning semakin cenderung menyokong calon Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Operasi Pakatan Harapan, Salman Saleh berkata, arus ini bukan terbina secara kebetulan, tetapi hasil penilaian matang rakyat terhadap prestasi, kesungguhan dan tawaran realistik yang dibawa kerajaan negeri.

“Kami percaya pengundi hari ini semakin bijak menilai dan tidak mahu membazirkan undi kepada calon tidak bersama kerajaan dan sukar membawa manfaat langsung kepada kawasan.

“Calon Barisan Nasional (BN) yang mewakili Kerajaan Perpaduan bukan sahaja membawa suara rakyat, tetapi juga mempunyai laluan terus untuk menyampaikan hasilnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

PRK Ayer Kuning pada Sabtu ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PN, Abd Muhaimin Malek; calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Februari lepas.

Salman juga berkata, rakyat semakin muak dengan pendekatan politik PN yang terus memainkan isu-isu sensitif seperti kaum dan agama, termasuk isu ladang babi, semata-mata untuk membakar sentimen dan mencetuskan perpecahan.

“Namun, reaksi pengundi jelas, isu seperti ini tidak lagi berkesan. Rakyat mahukan penyelesaian, bukan sentimen. Mahukan perpaduan, bukan kebencian.

“Kami percaya semangat itu akan diterjemahkan ke dalam keputusan pilihan raya esok.

“Kami menyeru semua pengundi Ayer Kuning yang mahu kestabilan dan pembangunan, agar bersama majoriti rakyat, mengundi calon mampu bekerja, bukan hanya bersuara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here