KUALA LUMPUR – Pendakwa bebas Firdaus Wong berkata, dia secara peribadi tidak akan menyertai perayaan Chingay atau mana-mana perayaan yang bersifat khurafat.
Beliau berkata demikian ketika diminta menggulas penglibatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam perarakan Chingay.
“Secara peribadi, saya tidak pernah menyertai atau terlibat dalam Chingay atau mana-mana upcara yang mempunyai elemen khurafat. Untuk memupuk perpaduan dan keharmonian serta toleransi tidak semestinya kita mesti meraikan semua perayaan bersama.
“Memadailah kita hormat hak satu sama lain untuk meraikan apa yang mahu diraikan tanpa perlu kita perlu terasa andai pihak lain tidak mahu turut serta,” katanya.
Katanya, ahli politik Islam perlu mencontohi ahli politik beragama Hindu yang tidak bersama-sama melapah serta mengedarkan daging lembu ketika Hari raya Korban bersama pengundi kawasan masing-masing.
Menurutnya, ahli politik muslim juga perlu melakukan perkara sama iaitu tidak perlu menyertai sambutan keagamaan masyarakat lain hanya untuk menunjukkan kebersamaan mahupun meraih undi.

Firdaus menambah, bagi mendapatkan hukum pembabitan orang Islam dalam perayaan Chingay pihak terbabit boleh merujuk kepada jabatan agama dan mufti.
Dalam perkongsian di media sosial, beliau berkata, Chingay yang telah wujud berabad lama dan diraikan setiap tahun pada hari ke-21 bulan pertama kalendar Lunar Cina bagi merayakan tarikh lahir dewa-dewa Cina.
Chingay turut dikenali sebagai perarakan Dewi Kwan Yin yang merupakan kemuncak kepada perayaan Chap Goh Meh.
Tambah beliau, pada awalnya perayaan Chingay di Pulau Pinang dikaitkan dengan amalan dalam upacara perayaan bagi meraikan dewa-dewa Tionghua semata-mata.
Namun kemudian berkembang menjadi lebih luas dan tidak hanya sebagai persembahan tradisional namun juga diserikan dengan akrobatik moden.
Perarakan Chingay Johor Bahru pula menurut beliau, bertemakan penyembahan lima dewa utama daripada lima kumpulan puak utama Tiong-Hua di Johor Bahru, iaitu Hainan, Kantonis, Hakka, Hokkien dan Teochew.
Oleh itu, perarakan Chingay juga dimaksudkan sebagai ‘Perarakan Dewa’ dalam bahasa etnik berkenaan, sebagai tanda ucapan terima kasih kepada dewa.
Jelasnya, Jabatan Warisan Negara telah mengisytiharkan Chingay sebagai antara salah satu elemen persembahan dalam Warisan Kebangsaan dalam mana yang berlangsung di Bangunan Sultan Abdul Samad pada 10 Mei 2012. – MalaysiaGazette