Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker bercakap pada media semasa temubual khas di Aminah Hamid Event Hall, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan. Foto AIZAT ZAINAL, 11 APRIL 2025.

NILAI – Parlimen Seremban bukan lagi kerusi ‘selamat’ buat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) susulan sokongan pengundi Melayu kian menyusut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu.

Gelombang menolak DAP pula didkawa semakin membuak-buak dalam kalangan Melayu dan besar kemungkinan Menteri Pengangkutan itu hanya mampu peroleh majoriti 4,000 undi jika berlaku pertandingan dua penjuru.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker mendakwa, PRN Negeri Sembilan sebelum ini membuktikan trend itu berlaku.

“Kalau kita lihat kepada keputusan PRN lalu, jika berlaku pertembungan satu lawan satu di Seremban, (berdasarkan) tren sekarang, undi Melayu akan pergi kepada PN.

“Saya lihat saudara Anthony Loke, kalau diambil kira keputusan sebelum ini, beliau mungkin hanya menang majoriti 4,000 undi sahaja (sekiranya) undi Melayu beralih kepada PN, dan andainya berlaku pertembungan dua penjuru di Seremban.

“Kalau berlaku tiga penjuru di kampung-kampung di peringkat Parlimen seperti Tampin, Kuala Pilah dan Jelebu, pertembungan dua atau tiga penjuru saya nampak sangat memihak kepada PN,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Mohamad Hanifah Abu Baker semasa temubual khas di Aminah Hamid Event Hall, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan. Foto AIZAT ZAINAL, 11 APRIL 2025.

Anthony merupakan penyandang kerusi Parlimen Seremban selama dua penggal menang dengan 63,920 undi menewaskan calon PN, Mohd Fadhli Che Me (33,076); Barisan Nasional (BN), Wong Yin Ting (24,584) dan GTA, Mohamad Jani Ismail (1,336) pada PRU15 lalu.

Hanifah yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan memberi kelebihan kepada PN untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting daripada UMNO.

“Di Jempol, masa PRU-15, kita tewas 6,000 undi, kedudukan kita ketiga di peringkat DUN Palong tetapi hari itu penggabungan UMNO dan Pakatan Harapan (PH), kita hanya tewas 500 undi sahaja dan kita membuat kejutan di Serting, ia adalah kawasan UMNO, parti lain tak pernah menang kawasan ini.

“Kali pertama kita bertanding, kita menang dengan majoriti 800 undi sebaliknya di Jeram Padang kita hanya kalah 600 undi.

“Kawasan Felda kebanyakannya PN menang tapi kami cuma kalah undi orang asal yang agak tinggi di Jempol,” katanya.

Hanifah tidak menolak kemungkinan dasar-dasar baharu yang diperkenalkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membebankan rakyat khusus kos sara hidup kian melambung tinggi.

“Atas keyakinan itu, saya mengambil kira faktor-faktor semasa dan beban yang dihadapi oleh rakyat dan pemimpin yang munafik ini.

“Setiap manifesto itu perlu ditunaikan tapi PH pada PRU lepas, kalau ada perkara yang lupa dinaikkan Anwar Ibrahim, kita kena ingatkan balik sebab dia mungkin terlupa, apa yang dijanjikan semua, dinaikkan sekarang.

“Mengambil faktor itu, saya yakin PN akan mendapat kemenangan, setidak-tidaknya majoriti yang mudah untuk menubuhkan kerajaan,” katanya.

Hanifah turut berkata, PN tidak pernah ketandusan tokoh berwibawa dan berkebolehan untuk mentadbir Putrajaya sekali lagi, meskipun perkara itu sering dimomokkan jentera kerajaan dalam mana-mana kempen pilihan raya.

“Kita juga mempunyai pemimpin-pemimpin berpengalaman dan sudah terbukti seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, presiden kami dikaitkan dengan pelbagai tuduhan tetapi tiada satu tuduhan pun berjaya dibuktikan begitu juga dengan sahabat-sahabat lain.

“Terbukti juga semasa pemerintahan PN di mana kerajaan pada masa itu memberi lebih keterjaminan dalam bentuk kos sara hidup kepada rakyat.

“Saya yakin rakyat masih merindukan kepimpinan PN dengan mengambil kira faktor-faktor semasa itu, kami dapat mengambil alih kerajaan pada PRU akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here