Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah mengetuai delegasi Malaysia untuk bertemu dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS Duta Jamieson Greer di Washington DC pada 24 April 2025. Foto MITI

KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) dalam empat bidang utama iaitu mengurangkan defisit dagangan, menangani halangan bukan tarif, memperkukuh perlindungan dan keselamatan teknologi serta meneroka potensi perjanjian perdagangan dua hala.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia turut bersedia untuk terus bekerjasama dengan AS bagi mencapai penyelesaian dipersetujui bersama membabitkan perkara tarif timbal balas yang diumumkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Tambahnya, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah mengetuai delegasi Malaysia untuk bertemu dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS Duta Jamieson Greer di Washington DC pada Khamis untuk membincangkan isu tarif timbal balas dikenakan ke atas Malaysia.

“Malaysia menyambut baik tempoh penangguhan cadangan tarif selama 90 hari baru-baru ini dan menganggapnya sebagai peluang untuk proses libat urus yang lebih konstruktif.

“Selain itu, Malaysia juga telah menyatakan secara terbuka bahawa ia tidak akan mengambil tindakan balas terhadap AS, namun bersedia untuk bekerjasama bagi mencapai persetujuan bersama mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh pentadbiran Trump,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, MITI berkata dalam kedua-dua mesyuarat itu, penekanan diberikan ke atas peranan AS yang selama ini dan akan terus menjadi antara rakan ekonomi Malaysia yang utama serta strategik.

Peranan itu, kata MITI, jelas terbukti apabila syarikat-syarikat AS sejak beberapa dekad lamanya telah memberi sumbangan besar terhadap ekonomi Malaysia, malah hubungan itu memberi manfaat ketara ke atas perniagaan dan barisan pekerja di kedua-dua negara.

“Pada masa sama, kita turut mengetengahkan prestasi perdagangan dua hala kukuh sejak 10 tahun lepas yang telah menjadi lebih seimbang, terutama apabila defisit dagangan dicatatkan AS telah menunjukkan arah aliran penurunan, sekali gus mencerminkan perubahan bermanfaat dalam perdagangan dua hala,” katanya.

Sehubungan itu, MITI berkata Malaysia akan terus meninjau kaedah alternatif bagi menangani kebimbangan AS selain memastikan kelangsungan aliran perdagangan Malaysia-AS yang memberi manfaat bersama.

Sementara itu, berkongsi sentimen sama, Tengku Zafrul menyifatkan pertemuan pertama dengan Lutnick dan Greer sebagai “langkah pada haluan yang tepat.”

“Kita akan terus mengekalkan momentum in dengan melakukan langkah susulan segera ke atas beberapa isu utama yang dibincangkan sejak bermulanya tempoh penangguhan tarif itu.

“Malaysia turut menegaskan bahawa semua saluran komunikasi kekal terbuka dan akan terus berusaha ke arah mencapai penyelesaian bersama,” katanya.

Di samping itu, MITI berkata perbincangan turut menumpukan bagaimana AS dapat bekerjasama lebih erat dengan ASEAN, terutama seiring kedudukan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini yang menjadi peluang tepat pada masanya dalam memajukan matlamat bersama serta bagi kestabilan serantau. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here