UTeM terima Anugerah Inovasi Pendidikan
KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus membuktikan keunggulannya sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal termaju dan berinovasi tinggi apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Pendidikan peringkat nasional di Empowering Education Summit 2025 baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin berkata, anugerah ini menzahirkan penghargaan tinggi terhadap daya usaha luar biasa UTeM dalam menerajui inovasi pendidikan yang berpaksikan teknologi, nilai kemanusiaan dan orientasi masa hadapan.
“Pengiktirafan ini adalah selari dengan fokus utama dalam Transformasi Pendidikan Tinggi 2025, khususnya dalam aspek “Penyediaan Bakat Terbaik Negara.
“UTeM tentunya komited memperkasa potensi pelajar melalui pendekatan pembelajaran berinovasi tinggi, memperkukuh ekosistem penyelidikan berimpak serta memperluas akses kepada teknologi dan kemahiran masa depan,” ujarnya.
Katanya, segala inisiatif ini tidak lain tidak bukan tentunya berhala tuju untuk terus melahirkan graduan TVET yang holistik, berkebolehan tinggi dan mampu bersaing secara global.
Anugerah berprofil tinggi ini telah disempurnakan penyampaiannya oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan disaksikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek.
Anugerah itu diterima oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim.
Dr. Massila berkata, augerah ini bukan sekadar simbol kejayaan, tetapi merupakan amanah besar untuk terus mendepani perubahan dan menjadi pencetus gelombang baharu dalam pendidikan tinggi negara dan penyumbang aspirasi Malaysia Madani. – MalaysiaGazette