Insiden berlaku kira-kira 10.30 pagi waktu tempatan pada Jumaat di Pondok Modern Darussalam Gontor di Kabupaten Magelang, ketika pelajar sedang bersiap untuk mandi sebelum memulakan aktiviti persekolahan.
“Seramai 29 pelajar terlibat dalam kejadian itu. Daripada jumlah itu, 25 berjaya diselamatkan, namun 11 orang mengalami kecederaan dan dihantar ke pusat kesihatan berdekatan.
“Empat pelajar lain tertimbus di bawah runtuhan,” kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB), Abdul Muhari, dalam satu kenyataan.
Pasukan penyelamat daripada Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Magelang bersama agensi kecemasan lain telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Semua mangsa berjaya dikeluarkan satu demi satu iaitu yang pertama pada 6.00 petang, kedua pada 7.20 malam, ketiga pada 8.00 malam, dan keempat pada 11.20 malam pada hari sama,” katanya.
Satu pasukan gabungan termasuk kakitangan sekolah sedang meneruskan kerja-kerja pembersihan serpihan runtuhan, sementara siasatan mengenai punca kejadian masih dijalankan. BERNAMA