TANGKAK – Dua kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas motosikal dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 38 Jalan Muar-Segamat di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, kejadian berlaku pukul 2.30 petang melibatkan motosikal jenis SM Sport 110E dengan sebuah kereta Toyota Camry.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal dari arah Tangkak hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu berlanggar dengan Toyota Camry yang datang dari arah Segamat.
“Akibat kemalangan tersebut penunggang dan pembonceng motosikal yang kedua-duanya berusia 12 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kemalangan itu disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan berbahaya.
Pihaknya memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membenarkan penunggang bawah umur menunggang motosikal di mana-mana kawasan perumahan atau jalan utama.
“Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Khairul Azmi Ibrahim 011-12445836,” ujarnya.- MalaysiaGazette