ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing pada sidang media selepas selesa Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 14 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR  – Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing, hari ini mengutuk keras kenyataan menghina oleh pengulas politik kanan Amerika Syarikat, Bill O’Reilly, yang mendakwa “rakyat Malaysia tidak mampu membeli topi”.

Beliau menyifatkan kenyataan itu bukan sahaja sombong dan tidak benar, malah menunjukkan kejahilan terhadap kemajuan yang sedang berlaku di Asia Tenggara.

Menurut Kar Hing,ekonomi Malaysia berkembang secara kukuh dengan peranan penting di peringkat global dalam sektor seperti pembuatan, eksport minyak sawit dan pembungkusan semikonduktor. Pada masa sama, negara turut giat meningkatkan infrastruktur, memperluaskan akses pendidikan dan penjagaan kesihatan, serta memperkukuh ekonomi digital.

“Pendapatan purata rakyat Malaysia berada di antara yang tertinggi di rantau ini, dan kita semakin hampir mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“Gambaran yang diberikan oleh Bill O’Reilly bahawa rakyat Malaysia ‘tidak mampu membeli topi atau makanan Cina bungkus’ adalah jauh menyimpang daripada realiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Khamis lalu, pengulas konservatif Amerika Syarikat (AS) itu membuat kenyataan balas dengan menyerang Malaysia dengan membandingkan pendapatan per kapita isi rumah antara Malaysia dan negaranya.

O’Reilly berkata, statistik pendapatan per kapita isi rumah Malaysia ialah AS$5,731 (RM25,061) setahun manakala AS mencatatkan AS$42,220 (RM184,628).

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan O’Reilly yang mendakwa Asia Tenggara ‘tiada wang’, sambil menyifatkan ia sebagai satu pandangan yang angkuh dan jahil.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kenyataan itu bukan sahaja menunjukkan kejahilan O’Reilly terhadap realiti semasa Asia Tenggara, malah turut mencerminkan pemikiran sempit yang dipengaruhi sentimen perkauman dan ideologi penjajah.

O’Reilly turut mengakui bahawa dirinya adalah seorang penjajah.

Kar Hing dalam pada itu menambah bahawa walaupun ramai rakyat Amerika berfikiran terbuka dan adil, individu seperti Bill O’Reilly dengan sikap angkuh mereka, menggugat usaha untuk membina kerjasama global.

“Kata-katanya mencerminkan mentaliti kolonial — menilai bangsa lain semata-mata berdasarkan kekayaan,” tegasnya.

Beliau menekankan bahawa kekuatan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada kekayaan semata-mata, tetapi turut bergantung kepada keazaman rakyat, kestabilan institusi, dan perpaduan masyarakat.

Kar Hing juga menegaskan bahawa beliau tidak perlu membuktikan apa-apa kepada Bill O’Reilly.

“Kita sentiasa terbuka untuk belajar dan bekerjasama dengan orang lain, tetapi kita tidak menerima penghinaan. Kita akan membalas prejudis ini dengan tindakan — dan membiarkan pencapaian kita berbicara lebih kuat daripada kata-katanya,” ujarnya.

Dalam kenyataan yang sama, Kar Hing turut menyebut bahawa lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia merupakan bukti kukuh hubungan erat Malaysia-China yang dibina atas dasar saling menghormati, bukannya kerana kebergantungan atau belas ihsan.

“Oleh sebab itu, saya percaya kenyataan Bill O’Reilly bukan sahaja menghina Malaysia, malah menghina semua negara membangun,” tegas beliau lagi.

Kar Hing turut menegaskan bahawa kejayaan sesebuah negara tidak perlu dibuktikan melalui perdebatan kosong.

“Kemajuan sejati datang daripada memahami dan menghormati orang lain. Dalam masa yang akan datang, sejarah akan membuktikan siapa sebenarnya bangsa yang berbilang, berkemampuan, dan bermaruah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here