KUALA LUMPUR – Malaysia komited memimpin peralihan tenaga rantau ini secara pragmatik dan progresif dengan memberi keutamaan kepada kebolehcapaian, keterjaminan bekalan dan kemampuan pengguna.
Komitmen teguh terhadap keselamatan tenaga serta peralihan tenaga yang adil dan berdaya tahan itu dizahirkan semasa Sidang Kemuncak Summit for the Future of Energy Security yang berlangsung selama dua hari di London, baru-baru ini.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan berkata, Malaysia aktif menyertai perbincangan strategik membabitkan isu seperti integrasi sistem tenaga serantau, daya tahan terhadap perubahan iklim, keselamatan bekalan elektrik dan penggunaan teknologi baharu.
Delegasi Malaysia diketuai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Kami mengambil peluang di sidang ini untuk memperkukuh kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan menerajui usaha merealisasikan Grid Tenaga ASEAN.
“Selain itu, Malaysia turut mempromosikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta memperkasa kerjasama dua hala menerusi pertemuan dengan pemimpin United Kingdom dan Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA),” katanya.
Menurut kenyataan itu, penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak berkenaan mencerminkan pelaksanaan prinsip Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan, kemampanan dan keterangkuman.
Tambahnya, pendekatan pragmatik serta berpaksikan rakyat sejajar dengan aspirasi untuk membentuk negara progresif, lestari dan inklusif demi kesejahteraan generasi kini dan masa depan. – MalaysiaGazette