Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan tetamu semasa Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, Pagoh hari ini.

MUAR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan kepimpinan gabungan tersebut di bawahnya lemah, sebaliknya sudah membuktikan berjaya mencapai banyak kejayaan terutama pilihan raya di peringkat negeri.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan, buktinya boleh dilihat dalam pilihan raya negeri (PRN) di empat negeri sehingga berjaya menubuhkan kerajaan PN.

“Kita juga sudah ada Exco, Timbalan Speaker dan banyak jawatan lain (yang dipegang wakil rakyat PN). Begitu juga (dalam PRN) di Pahang dan Perak kita mendapat jumlah kerusi yang besar tetapi tidak dapat membentuk kerajaan negeri.

“Ini kerana kerusi yang kita ada tidak cukup dan UMNO pula memilih untuk bekerjasama dengan DAP (untuk bentuk kerajaan negeri),” katanya menafikan dakwaan kepimpinan PN lemah sebelum ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Dalam PRN di Perlis, Terengganu, Kelantan dan Kedah, PN menang besar serta menjadi kerajaan negeri terbabit.

Mengenai rombakan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa PN yang dijangka melaksanakan rombakan struktur pimpinannya, beliau berkata, perkara berkenaan sudah dilakukan baru-baru ini.

Menurut beliau, kepimpinan tertinggi PN sudah berubah namun pihaknya terbuka dengan sebarang cadangan untuk menambah baik gabungan itu pada masa depan.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here