Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning BN mendahului selepas kesemua 67 saluran telah selesai dikira di Command Center BN di Kampung Haji Tahir, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 26 APRIL 2025.

TAPAH – Peratusan keluar mengundi kurang daripada 75 peratus menjadi faktor Barisan Nasional (BN) gagal mencapai sasaran 18,000 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, meskipun gagal mencapai sasaran calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir yang mewakili Kerajaan Perpaduan berjaya memenangi kerusi N48 itu.

“18,000 sasaran itu kerana kita menyasarkan 75 peratus daripada 32,000 pengundi, jadi ada 24,000 kalau PN kekal 6,000 undi maka 18,000 itu hak kita lah.

“Tapi oleh kerana peratus keluar mengundi kurang tidak sampai 60 peratus jadi kuranglah kita dapat. Tapi Alhamdulillah kita menang juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Pengumuman Rasmi Keputusan PRK DUN Ayer Kuning di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Merdeka Tapah, dekat sini, malam ini.

Ditanya mengenai jumlah majoriti hampir tiga kali ganda pada PRK Ayer Kuning berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Saarani berkata ia gambaran jelas sokongan diterima Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Barisan Nasional Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sidang media di Dewan Merdeka, Tapah, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 APRIL 2025.

“Ia baguslah kerana telah menggambarkan bagaimana pengundi Ayer Kuning ini cintakan kepada perdamaian tidak suka kepada provokasi dan mencari gaduh serta menolak sesiapa yang membuat fitnah.

“Kita lihat tadi undi diterima PN juga merosot dari 6,812 kepada hanya 6,059. Merosot banyak juga.

“Saya cukup suka kerana lihat saluran-saluran orang muda juga menunjukkan peningkatan undi sokongan orang muda. Terima kasih kepada orang muda,” katanya.

Terdahulu Mohamad Yusri berjaya memenangi PRK DUN Ayer Kuning dengan mempertahankan kerusi yang dimenangi gabungan itu pada PRU15 lalu melalui majoriti 5,006 undi.

Dalam saingan tiga penjuru Ustaz Yusri memperolehi 11,065 undi, sementara dua lagi pencabarnya, Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia – PSM) masing-masing mendapat 6,059 dan 1,106 undi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here