KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan, individu yang membuat hantaran di media sosial yang mengandungi maklumat tidak benar, bukan lagi kakitangan jabatan itu sejak tujuh tahun lalu.
Jakim menerusi kenyataan dalam Facebook hari ini berkata, pemilik akaun media sosial bernama Ramzul Ikbal Saiful Aula (رمزول إقبال سيف الأولى) yang menulis melalui satu hantaran di media sosialnya sendiri, tidak lagi berkhidmat dengan jabatan itu sejak 2018.
Jelasnya, individu tersebut hanya pernah berkhidmat sebagai pegawai kontrak atau ‘contract for service’ (COS) dalam kapasiti sebagai penerbit rancangan dan bukan sebagai pegawai hal ehwal Islam atau pemegang jawatan tetap di jabatan berkenaan.
Sehubungan itu, Jakim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh pemilik akaun itu yang mengaitkan dirinya dengan jabatan tersebut.
“Segala kenyataan, pandangan atau komen yang dikongsikan oleh individu berkenaan adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi jabatan.
“Jakim juga tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kenyataan yang dibuat oleh bekas pegawai kontrak tersebut selepas tamat perkhidmatannya,” ujar kenyataan itu.
Sehubungan itu, jabatan tersebut menyeru orang ramai untuk sentiasa merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat.
Sebelum ini, hantaran yang dimuat naik individu terbabit di media sosial mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna platform berkenaan.
Dalam hantaran tersebut, individu itu mendakwa dirinya sebagai kakitangan Jakim dan mengaitkan jabatan berkenaan dengan beberapa kenyataan bersifat peribadi.
Kenyataan itu tular dan menimbulkan salah faham terhadap peranan dan pendirian rasmi Jakim sebagai institusi agama utama negara. – MalaysiaGazette