Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada media berkenaan pendengaran dan rayuan terhadap sabitan dan hukuman bagi empat kesalahan pecah amanah berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 17 APRIL 2025 (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ke Mahkamah Rayuan pada 25 Jun ini bagi mengetahui keputusan rayuan terhadap sabitan dan hukuman atas pelbagai kesalahan berkaitan dana Armada.

Tarikh tersebut diperolehi selepas sesi pengurusan kes pada Khamis lalu.

Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim akan menyampaikan keputusan panel tiga hakim yang diketuainya sama ada membenar atau menolak rayuan Syed Saddiq secara majoriti 2-1 atau sebulat suara.

Jika keputusan rayuan tidak memihak kepadanya, wakil rakyat itu mempunyai satu lagi peluang untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada media berkenaan pendengaran dan rayuan terhadap sabitan dan hukuman bagi empat kesalahan pecah amanah berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 17 APRIL 2025 (GAMBAR FAIL)

Pada 17 April lalu, Hakim Ahmad Zaidi yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin selesai mendengar penghujahan panjang lebar pihak pembelaan dan pendakwaan.

Pembelaan berpegang kepada pendirian bahawa bukan Syed Saddiq yang mengarahkan wang RM1 juta dikeluarkan daripada akaun milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), lima tahun lalu.

Selain itu, pertuduhan yang dirangka terhadap Syed Saddiq tidak betul kerana ia tidak mendedahkan jenis kesalahan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Muar itu.

Namun pasukan pendakwaan menolak hujahan itu dengan menyatakan Syed Saddiq sejak dari awal bertindak secara tidak jujur apabila mengarahkan bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu untuk ‘membersihkan’ wang berjumlah RM1 juta bagi mengelakkan ia disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Syed Saddiq, 33, merayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta berkaitan penyelewengan dana Armada yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Memetik kata-kata wakil rakyat itu: “Saya tidak minta banyak, hanya kebenaran. Saya telah disiasat sejak tahun 2020 dan ini masuk tahun kelima.

“Saya yakin dengan institusi kehakiman untuk bersihkan nama dan integriti saya,” katanya sewaktu hadir hari pertama rayuannya pada 19 Mac lalu.

Semestinya beliau berhasrat membersihkan nama selepas terpalit dengan `gelaran’ wakil rakyat pertama dikenakan sebatan kerana melakukan kesalahan jenayah kolar putih.

Syed Saddiq dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan kerana bersubahat melakukan pecah amanah membabitkan RM1 juta dana Armada.

Syed Saddiq turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan kerana menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Selain itu, beliau dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10 juta bagi dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak. Penangguhan pelaksanaan hukuman turut ditangguhkan sementara menunggu pelupusan rayuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here