KUALA LUMPUR- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) mendapat peniktirafan enam bintang dalam senarai Universiti Pilihan Majikan Talentbank 2025 oleh Talentbank Graduate Employability (GE) Index yang berlangsung baru-baru ini.
UIAM juga dianugerahkan penarafan enam bintang bagi sembilan program akademik, iaitu ekonomi, kewangan, pengurusan hospitaliti, undang-undang, kejururawatan, farmasi, psikologi, ukur bahan, dan pelancongan.
Pengiktirafan luar biasa ini mencerminkan keyakinan tinggi serta persepsi positif yang diberikan oleh para majikan di Malaysia terhadap graduan UIAM, khususnya dalam sembilan bidang pengajian tersebut.
Pengiktirafan tersebut menandakan kepercayaan tinggi majikan terhadap kualiti dan kebolehpasaran graduan UIAM.
TalentBank merupakan syarikat yang bergiat aktif dalam inisiatif pembangunan bakat dan tenaga kerja di Malaysia telah mengumumkan senarai yang dinanti-nantikan iaitu Senarai Universiti Pilihan Majikan 2025, menampilkan lulusan universiti yang paling mendapat permintaan tinggi majikan di seluruh negara.
Maklumat berkenaan diperoleh daripada Indeks Kebolehpasaran Siswazah Kebangsaan Talentbank, menggunakan metodologi tiga peringkat iaitu mengenal pasti universiti yang menjadi sasaran majikan, mengukur jumlah pengambilan dan mengenal pasti pengambilan semula berdasarkan prestasi lulusan.
Menurut Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, penarafan enam bintang ini merupakan bukti komitmen UIAM terhadap kecemerlangan akademik, kebolehpasaran graduan dan kerelevanan dengan industri terutama pemilihan pekerja oleh majikan.
“Tahniah diucapkan kepada semua program yang menerima pengiktirafan ini. Semoga kejayaan ini terus mengukuhkan reputasi UIAM sebagai institusi yang dipercayai dan berwibawa dalam melahirkan graduan yang berkualiti, kompeten dan berdaya saing di pasaran kerja”, katanya.
Dalam perkembangan berlainan, UIAM berada dikedudukan ranking nombor satu untuk tahun 2024 bagi kategori Universiti/Kolej Islam Dunia.
Pada tahun 2023, UIAM ditempat ranking kedua. Perkara tersebut diumumkan melalui portal UniRank baru-baru ini.
Penarafan Universiti Islam Terbaik Dunia 2024 ini mencerminkan kualiti pendidikan tinggi dalam institusi-institusi Islam, yang terus komited dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan kompeten di pelbagai bidang. Selain itu, senarai ini memberi panduan kepada pelajar yang mencari universiti yang memenuhi standard akademik yang tinggi dan relevan dengan keperluan industri global.
UniRank, organisasi penarafan universiti terkemuka, telah mengeluarkan Ranking Universiti Islam Terbaik Dunia 2024 yang mengiktiraf institusi pengajian tinggi Islam terbaik di seluruh dunia.
Penarafan ini berdasarkan beberapa kriteria pemilihan yang ketat, termasuk institusi yang diiktiraf atau dilesenkan oleh badan yang berkenaan dalam negara masing-masing, serta yang menawarkan program ijazah sarjana muda sekurang-kurangnya tiga tahun atau program pascasiswazah seperti ijazah sarjana atau kedoktoran.
Selain itu, universiti-universiti ini juga menyediakan kursus secara tradisional dalam format pembelajaran bersemuka, bukan melalui pendidikan jarak jauh. – MalaysiaGazette