PUTRAJAYA – Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar akan mengetahui esok sama ada beliau dibenar merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak mencabar titah adendum.
Beliau memohon kebenaran merayu dalam usaha mengetepikan keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman berkaitan titah adendum ke Mahkamah Tinggi.
Keputusan itu akan disampaikan oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Keputusan itu penting kerana jika permohonan Peguam Negara dibenarkan, mahkamah bakal mendengar persoalan undang-undang yang akan dihujahkan pada satu tarikh yang lazimnya ditetapkan kemudian.

Mohd. Dusuki mengemukakan tujuh persoalan undang-undang yang pada pendiriannya menyentuh isu kepentingan awam yang belum pernah didengar dan diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.
Bagaimanapun, jika permohonan kebenaran merayu ditolak, semakan kehakiman berkaitan titah adendum akan diteruskan di Mahkamah Tinggi seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan.
Koram berkenaan selesai mendengar penghujahan Mohd. Dusuki dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri pada 24 Mac lalu.
Mohd. Dusuki dalam hujahnya berkata, antara persoalan itu ialah sama ada bukti baharu atau tambahan yang akan mempunyai kesan undang-undang secara langsung atau tidak langsung, boleh dikemukakan dalam semakan kehakiman.
Persoalan lain, pada peringkat kebenaran semakan kehakiman, sama ada beban pembuktian mengenai kewujudan bukti baharu atau tambahan yang dipertikaikan, terletak atas kapasiti Peguam Negara.
Ia termasuk sama ada Peguam Negara pada peringkat kebenaran semakan kehakiman, memikul tanggungjawab undang-undang mengesahkan kewujudan dan menyediakan salinan dokumen yang dipertikaikan.
“Persoalan yang dikemukakan adalah kepentingan awam yang memerlukan penentuan mahkamah untuk memberikan panduan mengenai pendekatan yang betul dalam menangani permohonan bukti baharu atau tambahan di peringkat rayuan.
“Lebih-lebih lagi, perkara subjek dalam semakan kehakiman melibatkan pelaksanaan kuasa prerogatif tertinggi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang mencetuskan perdebatan serius dalam kalangan masyarakat,” hujah beliau.

Sementara itu, Muhammad Shafee berhujah, permohonan kebenaran merayu wajar ditolak kerana persoalan undang-undang yang dikemukakan kini akademik kerana Mahkamah Rayuan sudah memutuskan titah adendum wujud.
Hujah beliau, bekas Perdana Menteri bukan mencabar keputusan Lembaga Pengampunan kerana tahanan rumah bukan diputuskan oleh lembaga berkenaan sebaliknya titah YDPA.
Pada 6 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan bekas Perdana Menteri mencabar kewujudan titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.
Najib memfailkan semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah agar kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh YDPA ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette