KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-91 kepada seluruh warga TLDM, veteran serta mereka yang pernah berbakti dalam angkatan berkenaan.
Baginda yang juga pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merakamkan setinggi penghargaan di atas jasa, bakti dan pengorbanan dicurahkan seluruh warga dan veteran TLDM dalam melindungi kedaulatan serta keselamatan negara.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Seri Paduka Baginda turut mendoakan TLDM terus menjadi sebuah angkatan yang disegani di pentas antarabangsa.
Sambutan Hari TLDM ke-91 yang bertemakan “TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara” diadakan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, hari ini.
Sebelum ini, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Dr Zulhelmy Ithnain memaklumkan sambutan itu diadakan secara sederhana sebagai menghormati tragedi membabitkan dua helikopter milik TLDM bertembung ketika raptai persembahan mengakibatkan 10 warganya maut pada tahun lepas. – MalaysiaGazette