RAMALLAH – Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) secara rasmi meluluskan pelantikan Hussein Al-Sheikh sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif dan Naib Presiden Palestin.
Pelantikan itu, yang dicadangkan oleh Presiden Mahmoud Abbas, dibuat susulan keputusan Majlis Pusat Palestin pada sesi ke-32 yang diadakan di Ramallah pada 24 April lalu.
Dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Abbas, ahli-ahli turut meneliti hasil sesi Majlis Pusat dan membincangkan langkah praktikal untuk melaksanakan keputusannya.
Abbas menegaskan komitmen untuk melancarkan dialog nasional menyeluruh, yang akan diketuai oleh jawatankuasa bersama yang terdiri daripada Jawatankuasa Eksekutif dan Jawatankuasa Pusat Fatah, melibatkan semua puak Palestin bagi mencapai perdamaian dan memperkukuh perpaduan nasional.
Beliau juga memberi taklimat kepada jawatankuasa itu mengenai usaha politik yang akan datang untuk menghentikan pencerobohan Israel yang berterusan dan apa yang disifatkannya sebagai perang pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza.
Abbas menekankan keperluan mendesak untuk mempercepatkan penghantaran bantuan kemanusiaan dan perubatan serta memulihkan semula tadbir urus penuh Palestin di wilayah itu.
Beliau berkata, pengunduran sepenuhnya tentera Israel diperlukan untuk memulakan proses politik ke arah menamatkan penjajahan dan menubuhkan negara Palestin merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.
Jawatankuasa Eksekutif dijadualkan bermesyuarat semula Sabtu depan untuk memilih Setiausaha Agung baharu daripada kalangan ahlinya.
— BERNAMA-WAFA