Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat cabang akan dimuktamadkan selewat-lewatnya 5 Mei ini.

Perkara itu dimaklumkan, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang memberitahu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengambil maklum mengenai pembentangan laporan terkini oleh JPP 2025.

Katanya ia adalah berhubung kaedah penelitian keseluruhan proses pemilihan yang akan diambil ke atas bantahan-bantahan yang diterima terhadap keputusan pemilihan peringkat cabang baru-baru ini.

“Proses penelitian itu akan dilaksanakan dengan cermat, adil dan berhemah demi menjaga integriti pemilihan parti yang akan kemudiannya diteruskan untuk pengundian peringkat nasional pada bulan Mei hadapan.

“Sehubungan dengan itu, keputusan muktamad selepas penelitian terhadap semua bantahan dijadualkan untuk disahkan selewat-lewatnya pada 5 Mei 2025,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan, JPP akan memaklumkan lebih awal pemenang jawatan di peringkat cabang serta senarai perwakilan ke Kongres Nasional bagi cabang-cabang yang menang tanpa bertanding atau tidak mempunyai pertikaian yang munasabah mengikut penilaian JPP, pada 1 Mei 2025.

Katanya lagi, senarai berkenaan akan diserahkan juga secara rasmi kepada Pejabat Setiausaha Agung bagi tujuan penyelarasan dan persiapan Kongres Nasional, Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita yang dijadualkan pada 23 hingga 25 Mei 2025.

Tambah beliau, bagi cabang-cabang yang sudah mengemukakan bantahan, proses penelitian masih berjalan dan setiap bantahan yang diterima melalui saluran rasmi JPP akan diteliti dan dipertimbangkan secara adil sebelum dimuktamadkan.

Jelasnya, proses pengundian semula bagi empat Cabang akan dijalankan pada 1 Mei 2025 yang membabitkan Cabang Jempol, Selayang, Silam dan Semporna dan satu notis pemakluman akan dikemukakan segera kepada cabang-cabang yang berkenaan.

“JPP menyeru seluruh anggota parti untuk terus bertenang, memberikan kepercayaan kepada proses yang sedang dijalankan, serta bersama-sama memastikan keharmonian dan perpaduan parti terus terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here