Datuk Mohd Nassuruddin Daud

KUALA LUMPUR – Komuniti Orang Asli Kelantan kecewa dengan kenyataan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berhubung ketiadaan tanah adat di negeri tersebut.

Pengerusi, Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along menganggap kenyataan itu sebagai jahil, tidak bertanggungjawab, mengelirukan dan tidak berlandaskan kepada fakta sebenar.

Malah katanya, kenyataan tersebut dilihat cuba menutup kebenaran yang telah diketahui oleh umum.

“Kenyataan YB Menteri Besar Kelantan ini juga secara jelas, terang dan nyata telah bercanggah dengan dapatan Mahkamah di Malaysia yang melibatkan kes-kes tanah yang melibatkan Orang Asli.

“Kerana kes-kes ini tidak hanya melibatkan negeri-negeri lain (seperti, Perak, Pahang, Selangor dan Johor) tetapi juga turut melibatkan negeri Kelantan,” katanya menerusi kenyataan.

Nasruddin dilaporkan berkata demikian ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Rabu lalu.

Sebagai rekod, terdapat dua kes Mahkamah yang melibatkan kes tanah Orang Asli di Kelantan iaitu kes tanah Orang Asli Pos Belatim yang telah berlangsung pada 2017 dan kes tanah Orang Asli Pos Balar.

Menurut Mustafa, kedua-dua kes itu memutuskan Orang Asli mempunyai hak ke atas tanah mereka, yang juga di kenali sebagai kawasan Tanah dan Wilayah Adat.

Sehubungan itu beliau dalam masa yang sama menyifatkan kenyataan Nasruddin sebagai menghina keputusan mahkamah.

“Secara nyata, isu ini berlaku disebabkan oleh keengganan pihak kerajaan, sama ada negeri atau Persekutuan, di dalam mengakui hak-hak Orang Asli walaupun Mahkamah-Mahkamah Tinggi Malaya telah secara berulang kali menyatakan bahawa tanah adat juga wujud di Semenanjung Malaysia,” tambahnya.

Sehubungan itu, Mustafa menggesa kerajaan negeri atau pusat supaya mengambil tindakan yang sepatutnya di dalam mempromosi dan melindungi hak-hak Orang Asli, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Keputusan Kes-Kes Mahkamah Tanah Orang Asli. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here