Naazron Abdul Yusof

KUALA LUMPUR – Polis telah pun merakam keterangan lima orang saksi termasuk ahli keluarga dua mayat yang dipercayai menjadi mangsa pembunuhan di Semenyih, Selangor, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, terdapat beberapa lagi saksi akan dipanggil untuk diambil keterangan esok, bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung kejadian itu.

“⁠Tidak dapat ditentukan dengan tepat melalui pendapat pakar, ‘maggots’ (ulat yang terdapat pada tubuh mayat) dihantar ke kimia untuk analisis jangka hayat mayat, kemungkinan lebih dari tujuh hari,” katanya ringkas dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan, Naazron dipetik berkata, bau busuk dari sebuah rumah di Semenyih, membawa kepada penemuaan dua mayat.

Katanya, pengadu mengesyaki sesuatu selepas terhidu bau busuk dari rumah kakaknya yang berumur 53 tahun.

Siasatan awal polis mendapati, kakak pengadu yang  tinggal bersama anak saudara lelaki berusia 25 tahun sudah hampir 10 hari tidak kelihatan di kawasan rumah mereka.

Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang kesan geledah, manakala pintu rumah berkunci dari dalam.

Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian disebabkan sesak nafas dan siasatan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Naazron menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan R K Umesh di talian 012-6114900 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam pada itu Naazron berkata, ketika ini mayat mangsa masih belum lagi diserahkan kepada keluarga. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:-

Bau busuk bawa penemuaan dua mayat dalam rumah di Semenyih

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here