KUALA LUMPUR- Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan majoriti yang diam selama ini telah menyuarakan pendirian mereka menerusi peti undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, semalam.
Jelasnya, kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) membuktikan parti itu tidak lemah meskipun diam ketika dikritik dan diperlekeh seterunya.
Malah menurut beliau, diam adalah cara parti itu bermuhasabah dan membaiki kelemahan yang ada.
“Kita dikutuk, kita diperlekehkan, kita dikatakan tidak mempunyai taring lagi. Tetapi kita kekal diam, tenang dan teruskan perjuangan kerana kita percaya kita bukan seperti yang dikatakan mereka.
“Diam bukan bermakna lemah. Diam bukan bermakna mengaku kalah. Dalam diam kita mengatur langkah. Dalam diam kita bermuhasabah dan membaiki kelemahan.
“Kerana yang diam itu telah bersuara di peti undi yang diam itu sebenarnya adalah majoriti yang memerlukan politik yang baru, politik yang matang dan politik yang membina minda rakyat,” katanya menerusi Facebook.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/04/26/yusri-berjaya-kekalkan-bn-di-ayer-kuning/
Dalam pada itu, Akmal mengucapkan penghargaan kepada seluruh pengundi Ayer Kuning dan jentera parti yang bertungkus lumus sepanjang kempen PRK kali ini.
Katanya lagi, BN akan terus menambah baik kelemahan demi terus relevan kepada rakyat.
“Kita teruskan bermuhasabah dan perbaiki kelemahan, InsyAllah rakyat mampu menilai. “The silent majority has spoken!!! (Majoriti yang diam telah bersuara),” tegasnya.
Semalam, calon BN di Ayer Kuning Mohamad Yusri menang dengan majoriti lebih besar melalui saingan tiga penjuru, menewaskan wakil Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).-MalaysiaGazette