KUALA LUMPUR – Kekalahan parti Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dilihat berpunca akibat salah strategi dalam membawakan isu-isu ketika berkempen.
Pandangan itu dilontarkan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali apabila mendakwa, kesombongan pemimpin-pemimpin PN untuk mendapatkan maklum balas dari segi strategi dan isu dari pihak pemegang taruh adalah penyumbang kepada kekalahan itu.
Beliau berkata, PN sepatutnya menggunakan isu kos sara hidup sebagai perkara utama kerana ia adalah realiti dan dilihat membela semua kaum.

“Namun isu UMDAP dan babi jadi isu utama. Strategi bodoh dan bangang permainan politik sentimen sahaja sudah ketinggalan zaman kerana anak muda generasi sekarang di zaman AI (kecerdasan buatan).
“Saya ikuti kempen dan dengar ceramah semua parti yang bertanding termasuk PSM (Parti Sosialis Malaysia).
“Ceramah Pemimpin PN bunyi sedap macam lagu Hindi. Ceramah syok sendiri dan membesar diri. Substance dan isinya kosong kecuali UMDAP dan babi. Sedar atau tidak, perubahan mana-mana kerajaan melalui PRU adalah kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan hari.
Menurut Ibrahim lagi, jika melihat kepada momentum politik negara yang sedang berdepan dengan 1001 macam isu, keyakinan untuk PN mendapat sokongan sememangnya ada, walaupun ia sukar.
Ujarnya, kekalahan PN pada asasnya ialah kerana kelemahan nyata terhadap isu-isu yang di ketengahkan bagi menyakinkan rakyat untuk menyokong calon parti itu.
Beliau mendakwa, PN terlalu ghairah bermain isu UMDAP bagi menimbulkan kebencian orang Melayu kerana UMNO bersekongkol dengan DAO dan ditambah pula isu kandang babi.
“Isu ini BN untung free kerana PN secara tidak disedari membantu pengundi cina benci PN Pas.
“Manakala undi Melayu UMNO akar umbi kekal tidak berubah walaupun berbagai isu yang UMNO hadapi,” tambahnya.
Semalam, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir berjaya memenangi PRK berkenaan dengan majoriti 5,006 undi.
Mohamad Yusri atau mesra dikenali sebagai Ustaz Yusri mempertahankan kerusi yang dimenangi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Dalam saingan tiga penjuru Ustaz Yusri memperolehi 11,065 undi, sementara dua lagi pencabarnya, Abd Muhaimin Malek dari PN dan Bawani KS PSM masing-masing mendapat 6,059 dan 1,106 undi.
Menerusi kemenangan itu, Kerajaan Perpaduan di Perak yang terbentuk hasil kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) pasca PRU15 lepas terus mengekalkan penguasaan 32 kerusi DUN sementara PN 26.
Di samping itu BN berjaya juga merekodkan pertambahan majoriti bagi PRK kali ini berbanding keputusan PRU15 sebanyak 2,213 undi.
Keputusan rasmi PRK DUN Ayer Kuning diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Merdeka Tapah, malam tadi. – MalaysiaGazette