KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,257 sesi pengujian standard mandatori bagi kualiti perkhidmatan (MSQoS) jalur lebar tanpa wayar dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di seluruh negara.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ujian tersebut dijalankan pada suku pertama tahun ini.
“Tempoh 2023 dan 2024, sebanyak 46 penalti dengan jumlah kompaun keseluruhan sebanyak RM6.55 juta dikenakan kerana ketidakpatuhan kepada MSQoS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir sesi pengujian pusat pelancongan di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Rainforest Discovery Centre (RDC) Sepilok, Sabah, semalam.
Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 196 lokasi sesi pengujian adalah di Sabah.
Katanya lagi, berdasarkan aktiviti pemantauan dan kawal selia, sebanyak 135 notis bawah Subseksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dikeluarkan kepada syarikat telekomunikasi, pada tahun ini.
Fahmi berkata, SKMM akan terus melakukan pemantauan dan aktiviti kawal selia.
Dalam masa yang sama beliau menegaskan, suruhanjaya tersebut tidak akan teragak-agak menguatkuasakan instrumen undang-undang diperuntukkan dalam memastikan penyedia perkhidmatan patuh dengan keperluan standard liputan MSQoS sedia ada.
Katanya lagi, SKMM juga bekerjasama rapat dengan pengendali rangkaian mudah alih agar syarikat telekomunikasi di negara ini sentiasa berusaha menambah baik kualiti perkhidmatan rangkaian dan liputan.
“Semua penyedia perkhidmatan diminta memberi perhatian serius dan pantas dalam menyelesaikan aduan dikemukakan rakyat,” katanya.-MalaysiaGazette