KUALA LUMPUR – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning semalam membuktikan bahawa usaha utama yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan khususnya di Perak berjaya menambat hati pengundi di kawasan itu.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil berkata, jumlah undi yang meningkat diperoleh oleh calon parti kerajaan juga menunjukkan satu tanda positif sangat baik.
“Namun kita tidak harus leka, banyak yang perlu kita usahakan untuk pastikan kemenangan ini boleh diperkukuh.
“…dan kita lihat cara kempen yang sihat itu sudah pasti menjadi satu antara punca kenapa pengundi di Ayer Kuning memlih Kerajaan Perpaduan…berbeza daripada pihak lawan mereka memilih topik-topik yang tidak kena dengan penduduk,” katanya yang juga Menteri Komunikasi.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, parti lawan (Perikatan Nasional) menggunakan kaedah berkempen yang mungkin tidak dirasai secara bertepatan dengan citarasa dan kemahuan pengundi di Ayer Kuning.
Ujarnya, dengan kemenangan calon BN itu, ia membuktikan bahawa usaha yang dibuat oleh Kerajaan Perpaduan dan Madani perlu diteruskan selain meneliti apa-apa perkara melibatkan gabungan parti-parti di Sabah yang sudah pasti mahu melihat hala tuju dilakukan oleh pimpinan utama dalam kerajaan.
Semalam, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir berjaya memenangi PRK berkenaan dengan majoriti 5,006 undi.
Mohamad Yusri atau mesra dikenali sebagai Ustaz Yusri mempertahankan kerusi yang dimenangi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Dalam saingan tiga penjuru Ustaz Yusri memperolehi 11,065 undi, sementara dua lagi pencabarnya, Abd Muhaimin Malek dari PN dan Bawani KS PSM masing-masing mendapat 6,059 dan 1,106 undi.
Menerusi kemenangan itu, Kerajaan Perpaduan di Perak yang terbentuk hasil kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) pasca PRU15 lepas terus mengekalkan penguasaan 32 kerusi DUN sementara PN 26. – MalaysiaGazette