KUALA LUMPUR – Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak di Jalan Ayer Jerneh di sini, terbakar malam tadi.
Menurut Komander Operasi Kanan, Japari Tajuddin, pihak bomba menerima panggilan kecemasan menerusi MERS999 pada jam 8.43 malam.
Setibanya di lokasi kejadian pada jam 8.47 malam, pihaknya mendapati asrama pelajar lelaki di tingkat satu berkeluasan 20×100 kaki persegi sedang terbakar.
Kebakaran tersebut menyebabkan kemusnahan sebanyak 80 peratus.
“Tiada mangsa terlibat dan semasa kejadian kesemua pelajar sedang berada di surau.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Menurut Japari, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya 9.40 malam.
Operasi melibatkan 40 anggota, empat jentera FRT, dua buah EMRS, masing-masing sebuah water tanker dan ALP dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak serta dibantu BBP Sentul, BBP Jalan Hang Tuah dan BBP Gombak Selatan. -MalaysiaGazette