KUALA LUMPUR – Pelan Strategik Dan Hala Tuju Kumpulan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) 2025-2030 menggariskan strategi utama dan pelan tindakan kumpulan itu dalam memperkukuh kedudukannya sebagai pemangkin ekonomi negara khususnya di luar bandar.
Jabatan Komunikasi Strategik Felda dalam kenyataan memaklumkan, pelan strategik itu dirangka secara terperinci menerusi enam sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan dengan memberi tumpuan kepada inisiatif-inisiatif strategik dalam pelbagai bidang.
“Pengurusan Kumpulan Felda komited memastikan Pelan Strategik Dan Hala Tuju ini dilaksanakan dengan penuh dedikasi, demi membentuk ekosistem yang terampil untuk semua pemegang taruhnya.
“Tanggungjawab ini memerlukan usaha berterusan dan sokongan padu daripada semua pihak bagi memastikan kesejahteraan dan kemajuan Kumpulan FELDA terus diperkukuh,” menurut kenyataan itu.
Felda berkata pelan tersebut telah diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana disarankan beliau semasa Majlis Berbuka Puasa bersama warga FELDA pada 26 Mac lepas.
Berikutan penyerahan pelan itu, Pengurusan Kumpulan Felda turut menzahirkan komitmen dan kesungguhan dalam melaksanakan setiap strategi yang digariskan demi menjayakan aspirasi masa depan Felda yang lebih berdaya saing.
Semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Felda pada 26 Mac lepas, Anwar memberikan tempoh sebulan kepada organisasi itu untuk mengemukakan pendekatan hala tuju baharunya.
Menurut Anwar, langkah itu bertujuan menjamin masa hadapan yang lebih baik kepada kumpulan peneroka.
— BERNAMA