Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyerahkan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim dari Maahad Tahfiz Darul Fuqaha pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 28 APRIL 2025

SERDANG – Peningkatan harga santan yang ketika ini mencecah RM22 sekilogram dijangka kembali stabil bulan depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya telah mengambil langkah mengimport bekalan kelapa dari Indonesia dan beberapa buah negara lain.

Beliau menjelaskan, kenaikan harga santan sekarang juga disebabkan oleh keperluan yang meningkat ketika musim perayaan serta banyak majlis rumah terbuka dilangsungkan ketika ini.

“Santan memang harganya masih tinggi kerana perayaan sekarang ini masih berjalan, ‘open house’ masih berjalan, contohnya seperti (majlis aidilfitri) hari ini. Mungkin ada beratus tempat lagi di seluruh Malaysia.

“Bagaimanapun, kita yakin bulan depan barang kali (santan) akan stabil. Kita juga mengambil langkah mengimport tambahan lagi (bekalan kelapa) daripada Indonesia dan beberapa (kawasan) lain, Insya-Allah bulan depan stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamad memberi jaminan bekalan lembu mencukupi ketika Hari Raya Aidiladha nanti.

Malah katanya, ketika ini harga lembu juga agak rendah di beberapa negeri termasuk di Pantai Timur.

Beliau turut mengharapkan agar harga haiwan ternakan itu tidak naik mendadak ketika musim perayaan berkenaan nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast