Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bersama isteri beramah mesra bersama penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 28 APRIL 2025

SERDANG – Kemunculan artis veteran Indonesia, Hetty Koes Endang di pentas Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 2025 anjuran Kementerian Pertanian Keterjaminan Makananan (KPKM) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang di sini mendapat perhatian daripada pengunjung.

Mempersembahkan tiga buah lagu popularnya, Tak Ingin Sendiri, Tradisi Hari Raya dan Berdiri Bulu Romaku – persembahannya mendapat tepukan gemuruh daripada jemputan selain ramai yang mahu berfoto dengannya selepas itu.

Bagaimanapun, beliau tidak mengenakan sebarang bayaran untuk melakukan persembahan itu.

Penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang melakukan persembahan pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 28 APRIL 2025

Perkara berkenaan dijelaskan Menteri Pertanian Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang memberitahu, khidmat Hetty Koes Endang pada majlis tersebut adalah percuma kerana mereka bersahabat lama dan turut dikenali oleh isterinya.

Katanya, undangan kepada penyanyi itu ke majlis itu adalah secara kebetulan di mana Hetty kebetulan mahu bercuti di Langkawi.

“Kalau nak ambil dia (menyanyi, kena bayar) RM100,000. Tapi dia beri khidmat percuma di atas sahabat saya dengan dia dan isteri saya kenal dengan dia.

“Dia kebetulan nak datang bercuti ke Langkawi maka dia sedia untuk singgah di sini dan memberi persembahan percuma. Kalau kita nak bayar, kita tak akan mampulah bayar, sebab dia taraf profesional,” katanya ketika ditemui media selepas majlis tersebut, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, di sini hari ini.

Selain Hetty, artis lain yang turut diundang untuk memeriahkan majlis berkenaan adalah Datuk Jamal Abdillah.

“Selalunya Hetty Koes Endang ini suka perform di Singapura, kerana di Singapura ini, kita tahulah nilai mata wangnya begitu tinggi dibandingkan dengan nilai rupiah dan ringgit,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, Kementerian Kesihatan  (KKM) didakwa menerima kritikan hebat susulan penganjuran majlis sambutan hari raya secara besar-besaran kelmarin.

Segelintir pihak mempersoalkan bajet perbelanjaan KKM untuk majlis rumah terbuka itu selepas tular video dan foto sambutan majlis tersebut dalam media sosial selepas mengundang artis popular tanah air iaitu Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan Jamal. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hetty Koes Endang meriahkan Sambutan Aidilfitri KPKM esok

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here