GAZA – “Saya Bisan, Malangnya, saya masih hidup dan menyaksikan bahawa Israel melakukan pengeboman besar-besaran di mana-mana. Tidak ada satu pun tempat selamat di Semenanjung Gaza.
“Saya menyaksikan bahawa selama lebih 55 hari sekarang, Israel mengepung Semenanjung Gaza dan menghalang apa-apa daripada masuk. Maksud saya makanan, produk, ubat-ubatan, bekalan, walaupun setitik air, tiada apa-apa memasuki Gaza. Baik selatan mahupun utara.”
‘Wizard Bisan’ atau nama sebenarnya Bisan Owda antara sebilangan kecil wartawan Palestin yang masih bernafas, hidup secara bersembunyi kerana menjadi sasaran pengeboman Israel pada bila-bila masa seperti 232 rakan seperjuangannya yang telah maut.
Sambil menyekat air mata yang mengalir dan dengan suara yang mengeletar melalui video terkini yang dikongsi, Bizan menyatakan dia telah hilang harapan kepada dunia yang tidak mampu menghentikan pembunuhan beramai-ramai Israel dan kezaliman yang dilakukan di Gaza.
Katanya, lebih 50 kanak-kanak mati bukan disebabkan pengeboman tetapi disebabkan kebuluran akibat sekatan bekalan yang dilakukan pengganas Israel.
Kini tidak ada tempat yang selamat di Gaza. Pelarian hidup dalam kawasan yang padat dengan khemah dan pada bila-bila masa boleh menjadi sasaran pengeboman zionis Yahudi.
Dengan harapan yang semakin pudar untuk terus hidup dan pada bila-bila masa akan dibunuh oleh tentera Israel, Bisan percaya bangsa Palestin akan hilang dari Gaza selama-lamanya.
“Dalam khemah yang sesak, dalam kumbahan, di tempat yang musnah di kawasan sempit di barat Gaza dengan hampir tiada infrastruktur, tiada air, sudah tentu tiada elektrik, tiada gas, malah tiada kayu untuk api mereka memasak atau melakukan apa sahaja. Digigit oleh nyamuk dan lalat dalam khemah perang.
“Beginilah cara kita (orang Palestin) hilang dan semua yang telah kita lakukan mungkin akan hilang. Dan saya sangat tertekan. Saya sudah muak mengulangi seruan yang sama, dan mesej yang sama dan pemikiran yang sama dan segala-galanya yang sama.
“Tiada apa yang berlaku. Tiada siapa yang menghantar apa-apa makanan atau apa-apa untuk menamatkan kebuluran ini, untuk memberi maruah kepada rakyat Palestin. Tiada siapa menghentikan kegilaan ini, pembunuhan beramai-ramai ini. Dan itulah sebabnya sebenarnya saya kehilangan harapan,” katanya menahan air mata.
Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas berkata jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang terkorban adalah seramai 52,243 orang. Biarpun Israel bersetuju dengan gencatan senjata namun setiap hari lebih 50 terbunuh akibat dibom.
Israel telah menyekat bantuan kemanusiaan hampir daripada memasuki Gaza telah mencetuskan krisis kemanusiaan di wilayah itu.
Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Dujarric berkata: “Sejak awal Mac, tiada satu trak pun yang membawa makanan, bahan api, ubat-ubatan atau apa-apa keperluan lain dibenarkan masuk.-MalaysiaGazette