Keluarga dan saudara mara memberi penghormatan kepada Jamilah selepas disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Saksi terakhir tragedi serangan di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950, Jamilah Abu Bakar, menghembuskan nafas terakhirnya, hari ini.

Allahyarham yang berusia 78 tahun itu meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Taman Skudai Kanan di sini, pukul 9.36 pagi.

Anak bongsunya, Raja Zamzura Raja Buntat, 46, berkata, Jamilah hanya kelihatan kurang bermaya beberapa hari lalu kerana kurang selera makan.

“Mak memang ada kencing manis. Tetapi, tak adalah sakit beberapa hari ini, cuma dia tak nak makan dan minum. Nampaklah perubahan itu, dia letih, malam tadi pun nampak perubahan macam tidak bermaya, sehinggalah dia meninggal dunia pagi tadi.

“Kami adik-beradik ada ketika dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff di sini, selepas pengebumian Jamilah, petang tadi.

Semasa tragedi Bukit Kepong, Jamilah yang ketika itu berusia tiga tahun dan bapanya, Konstabel Abu Bakar Daud terselamat dalam serangan berdarah berkenaan tetapi cedera parah.

Abu Bakar meninggal dunia pada September 1979 dan turut disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff.

Allahyarham adalah Polis Marin di Balai Polis Bukit Kepong dan antara mangsa yang cedera parah dalam peristiwa tragis itu.

Bagaimanapun, allahyarham masih meneruskan perkhidmatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehinggalah meninggal dunia pada 1979.

Ditanya lanjut mengenai peristiwa Bukit Kepong, Raja Zamzura berkata, Jamilah masih ingat akan kejadian serangan Komunis itu yang meragut nyawa ibu, Fatimah Yaaba dan adiknya, Hussin kerana berlaku depan matanya.

“Mak memang nampak macam mana ayah, ibu dan adiknya ditembak. Mak juga terkena tembakan di tangannya.

“Mak juga nampak apabila ibu dan adiknya dibakar. Mereka meninggal dunia di tempat kejadian. Hanya abu mereka yang tinggal dan dikebumikan di Pusara Pejuang Bukit Kepong,” katanya.

Raja Zamzura berkata, setiap tahun, ibunya akan dijemput ke Bukit Kepong pada Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong.

“Mak ada simpan gambar dan selalu cerita pasal kejadian itu. Setiap tahun pun mak dijemput oleh polis untuk menghadiri majlis itu,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here