KUALA LUMPUR – Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail, mengakui sedih kerana pasukan yang dianggap legenda seperti Sri Pahang FC tidak akan ada lagi dalam aksi Liga Super pada tahun depan.
Pemangku Sultan Johor itu berkata, perasaannya bercampur baur biarpun JDT berjaya menjulang Piala Malaysia dan mencipta rekod baharu dengan melakar ‘hatrik quadruple’ atau memenangi empat piala dalam satu musim buat kali ketiga berturut-turut.
“Bagi saya, ia perasaan bercampur baur dari segi emosi kerana sudah tentu saya gembira dengan pencapaian ini, 30 piala dalam masa 12 tahun. Tetapi ada juga sedih kerana pasukan legenda seperti Pahang tidak akan ada lagi pada tahun depan.
“Saya berharap pada satu hari nanti, Insya-Allah Tengku Abdul Rahman boleh mempertimbangkan. Tetapi macam mana pun Tengku Abdul Rahman adalah mentor saya. Saya belajar banyak dari Tengku Abdul Rahman bagaimana untuk mentadbir dan juga mengurus bola sepak,” kata baginda.
Tunku Mahkota Ismail berkata demikian ketika ditemubual Astro Arena bersama pemilik Sri Pahang FC, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah selepas aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Ketika ini, status skuad Tok Gajah sama ada kekal bersaing atau tidak dalam saingan utama Liga Malaysia (Liga M) itu masih menjadi tanda tanya kerana terdapat dakwaan bahawa pasukan dari Pantai Timur itu tidak akan menyertai saingan Liga Super musim depan kerana isu kewangan.
Mengulas lanjut, Tunku Mahkota Ismail berkata, baginda akan sentiasa menghargai pengorbanan Tengku Abdul Rahman dan akan meminta nasihat dan panduan pada masa depan. – MalaysiaGazette