KUALA LUMPUR – Naib juara Piala Malaysia musim 2024/25, Sri Pahang FC seolah-olah memberi bayangan akan mengikut jejak langkah Perak FC yang menarik diri dari saingan Liga Super musim depan.
Ini kerana pemiliknya, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, beliau meminta diri untuk mengundur diri daripada pasukan itu ketika ditanya sama ada Sri Pahang masih bersaing dalam Liga Super musim depan.
“Tahun depan saya minta undur diri,” katanya ketika ditemubual Astro Arena bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa pasukan dari Pantai Timur itu tidak akan menyertai saingan Liga Super musim depan kerana isu kewangan.
Pada temu bual itu juga, Tengku Abdul Rahman turut berbangga dengan pencapaian JDT di bawah pimpinan Tunku Ismail selama 12 tahun
JDT berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selepas menewaskan Sri Pahang 2-1.
“Tahniah kepada JDT, Tunku Mahkota Ismail khasnya yang sudah membimbing JDT selama 12 tahun dari usia yang muda. Saya mengikuti perkembangan dan idea-idea Tunku Mahkota Ismail. Saya boleh nampak perubahan tempo, kualiti dan ini akan meningkatkan lagi pasukan kebangsaan,” kata Tengku Abdul Rahman. – MalaysiaGazette
















